F
O
L
L
O
W
Kembara Impian Wawa Zainal
Assalamualikum fellas,




Ayu wajahnya mengundang jelingan pria sehingga hujung ekor mata.Terbiasa sebegitu,dia senang menjadi diri sendiri.Lantas suasana di studio berubah ekstra ceria pabila juwita yang sedang galak membina nama ini mudah mesra dengan sesiapa saja.Boleh dikatakan,fotografi hari itu menjangkaui ekspektasi yang diharapkan.Siapa dia gerangan yang cukup menyenangkan ini?Bersama Remaja,Wawa Zainal sedia menyelak helaian peribadinya untuk dikongsi bersama pembaca.

Wow! Perkataan pertama terpacul tika melihat Wawa tiba bersama pembantunya pada pagi yang dijanjikan. “Memang cantik...” getus hati penulis yang pertama kali menonton aktres genit itu menerusi lakonannya dalam filem “Hantu Dalam Botol Kicap” minggu sebelumnya. Seperti di layar perak, pesonanya memang memancar di dunia realiti. Muda, cantik dan berbakat. Bersama pakej itu, Wawa bersedia mengembara, membuka langkah panjang serta tegar menakluki peluang yang baginya tidak sesekali akan disia-siakan.

Bergelar Remaja
Bagi yang masih belum mengenali pemilik nama Nur Hawa Zainal Abidin atau lebih mesra dipanggil Wawa, gadis genit ini sebenarnya mula dikenali menerusi drama lakonannya, “Ana Lulu”. Bermula dari situ kehadirannya kian disedari. Memilih bidang lakonan dengan cabaran dan dugaan yang bukan sedikit, anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini nekad dengan keputusan yang diambil. Demi membuktikan hasil, apa sahaja yang dilakukan akan disempurnakan dengan 100 peratus komitmen.“Saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan sekarang. Saya merasakan kehidupan remaja saya cukup terisi. Shooting ialah dunia saya. Biarlah orang nak kata yang saya tidak ada kehidupan tapi inilah Wawa Zainal. Gadis yang hanya menghabiskan masa dengan shooting, shooting dan shooting,” ujarnya tertawa penuh mesra.

Cuba Nasib
Baru usai menjalani penggambaran drama “Cinta Buat Emelda” untuk slot Akasia di TV3, akui Wawa, berada di landasan seni bukan cita-citanya yang sebenar. Percaya semua ini rezeki, fikirnya kemungkinan ‘mulut masin’ seorang guru ketika di sekolah menengah
dulu, dia kini benar-benar menjadi pelakon. “Ketika bersekolah dulu, saya kerap menyertai pertandingan lakonan. Melihat bakat yang ditonjolkan itu, ada seorang cikgu bertanya, “kenapa saya tak pergi KL sebab saya boleh berlakon”. Selepas tamat peperiksaan SPM, saya cuba-cuba menghantar resume kepada pihak MIG dan tak sangka selepas dipanggil untuk casting saya terpilih menjadi artis naungan mereka,” tutur Wawa yang kini sudah membintangi hampir 20 buah drama dan juga filem bersama Metrowealth.

Tanggung Rindu
Sepanjang penggambaran muka depan ini berlangsung,tidak henti-henti telefon bimbit Wawa berdering. Ramah dia menjawab dalam loghat Sabahan saat penggambaran berehat seketika. Ditanya mungkinkah buah hatinya yang mencari, Wawa tersenyum menjawab, “Ya, memang kesayangan sayalah tu. Dia bapa Wawa. Macam ni la saya setiap hari. Jika bukan saya yang telefon keluarga,mereka yang akan telefon saya. Maklumlah saya tidak pernah berpisah dengan keluarga selama ini. Hubungan Wawa dan keluarga memang amat rapat. Bila berjauhan kami memang saling merindui. Lagi pula Wawa hanya seorang diri di KL.“Percaya tak sebelum datang KL, berat Wawa 51 kilogram. Sekarang dah turun 42 kilogram sebab terseksa menanggung rindu. Memang saya selalu rindukan keluarga, suasana di kampung dan masakan emak tapi memikirkan saya datang ke sini untuk bekerja saya kuatkan semangat. Nasib baik rakan-rakan dan staf di MIG sangat baik. Malah bos David Teo pun menjaga saya dengan baik sekali. Wawa dah anggap dia macam ayah angkat Wawa,” ujarnya bersyukur.

credit to : Remaja